Saya Petik:
Kementerian Kesihatan melakukan pemantauan rapi terhadap produk makanan keluaran Taiwan yang tercemar di pasaran tempatan, malah akan merampas produk itu selepas arahan penarikan balik dikeluarkan kepada pengimport.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan undang-undang juga boleh diambil mengikut Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun. Menurutnya, hukuman denda dan penjara itu boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang bersabit kesalahan pengimportan, penyimpanan, penyediaan, pengedaran dan penjualan produk yang membahayakan kesihatan.
“Kementerian sudah menghubungi semua pengimport produk terbabit untuk melaksanakan tindakan pemanggilan balik produk makanan berkenaan yang berada di pasaran dengan segera.
“Dalam pada itu, kementerian juga akan menjalankan pemantauan dan sekiranya produk berkenaan masih dijual, tindakan rampasan akan dijalankan,” katanya, melalui satu kenyataan dikeluarkan, di sini, semalam.
Beberapa produk makanan dari Taiwan seperti minuman tenaga, jus buah, jeli, jem, yogurt dan bahan aditif makanan (clouding agent) baru-baru ini dilaporkan tercemar dengan di(2-ethylhexyl) phthalate (DEHP) dan di-isononyi phthalate (DINP).
Susulan itu, Kementerian Kesihatan sudah dimaklumkan Pengurusan Makanan dan Dadah (FDA) Taiwan mengenai makanan yang disahkan tercemar dengan DEHP dan dieksport ke Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Produk berkenaan ialah jus Sunkist Lemon, Sunkist Lemon Juice Drink With Aloe Vera Pulp, Sunkist Orange dan Sunkist Orange Juice Drink, yang dikilangkan Country House Inc, Taiwan dan dieksport oleh Sunlight Foods Corp.
Selain itu, jus asparagus Uni-President dengan tarikh luput sebelum 18 Mei 2012, dikilangkan Uni-President Enterprises Corp, Taiwan.
Liow berkata, semua pengimportan produk terbabit sudah dilarang masuk ke negara ini manakala produk makanan lain dari negara berkenaan akan dipantau rapi di pasaran dan pintu masuk.
Menurutnya, DEHP dan DINP adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik untuk menjadikannya lebih lembut dan ia boleh dipindahkan kepada makanan dalam proses pembuatan, pembungkusan dan penyimpanan.
“DEHP berkemungkinan menyebabkan kesan karsinogenik ke atas manusia. Namun, masih kekurangan bukti saintifik terhadap kesan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, mengenai produk minuman sukan keluaran Young Energy Resource Co Limited, yang dikesan mengandungi DEHP, iaitu Speed Sports Drink 600 mililiter (ml), Speed Sports Drink (perisa lemon) 600ml dan Dong Nung 1000 Sport Drink tidak diimport ke negara ini.
“Orang ramai tidak perlu khuatir keselamatan makanan yang diimport dari Taiwan memandangkan kawalan dikenakan ke atas makanan terbabit. (Namun), pengguna yang membelinya dinasihati tidak memakan produk berkenaan,” katanya.
Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di talian 03-88833652 atau melayari laman web http://moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my.
Sila ambil perhatian dan sebarkan berita sahih ini.
Lagi maklumat yg bermanafaat..Terima kasih
BalasPadamSebarkan mana yang sahih
BalasPadam