Ahad, 10 Julai 2011

ADAB MENZIARAH ORANG SAKIT

https://lh6.googleusercontent.com/-Eq_Zyf3nMZo/Thm3S1OZeXI/AAAAAAAABkg/BL4uXFYXkQY/s640/Ziarah.jpg

Salam Sejahtera... Sebulan dua ini boleh dikatakan agak ramai jiran tertangga, rakan dan keluarga kita di serang pelbagai penyakit dan ada juga di masukkan ke hospital. Justeru itu, setelah kita mendapat khabar berita tersebut maka eloklah kita menziarah jiran, rakan dan sanak saudara yang berada dalam kesakitan itu. 

Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh syariat islam. Sebenarnya ziarah-menziarahi digalakkan bukan sekadar masa sakit sahaja bahkan melengkapi semua keadaan, baik semasa sihat mahupun berdukacita. Semuanya ini telah dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW. Amalan seumpama ini akan mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurarirah r.a. 

"Sesiapa yang menziarahi orang sakit, ataupun ziarah saudaranya kerana Allah SWT maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkahmu, dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga"

Namun kita perlu mengetahui adab menzirahi orang sakit supaya amalan ziarah ini tidak tersasar dari perkara-perkara yang tidak sepatutnya kita lakukan semasa waktu menziarah kenalan kita yang sakit. Adab-adab  menziarah orang sakit yang telah digariskan sebagai panduan kita bersama adalah seperti berikut:-
  • Jangan duduk terlalu lama disisinya kerana duduk terlalu lama itu membawa kepada perasaan jemu kepada pesakit.
  • Zahirkan simpati kepadanya seolah-olah kita juga berasa sebagaimana ia merasakannya.
  • Doakan untuknya seperti, "Ya Tuhanku afiatkanlah /sihatkanlah sahabatku ini," atau dikatakan baginya, "semoga Allah menyembuhkan saudara/saudari dengan segera".
  • Nasihat pesakit supaya bersabar kerana dengan sakit itu ia mendapat pahala yang banyak dan ini sebagai dugaan semata-mata.
  • Jangan makan makanan yang dihadiahkan kepadanya atau makan yang disediakan untuknya maka hilanglah pahala ziarah itu.
  • Pendekkan waktu menzirah mungkin kerana pesakit ingin tidur, atau ingin makan ubat dan tukar pakaian. (kecuali sisakit mengkehendaki sebaliknya)
Islam membenarkan wanita menzirah pesakit lelaki seperti dalil Aisyah ra pernah menziarahi Bilal bin Rabah ra yang sakit demam panas.

Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Menziarahi orang sakit tidak hanya terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, bahkan disunatkan juga menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali hatta musuh atau orang yang pernah menyakiti kita.

Hukum menziarahi kenalan bukan islam yang sakit pula pada dasarnya adalah harus, namun disunatkan menziarahinya jika dia dari kalangan ahli terdekat atau jiran, atau kerana berharap supaya dia memeluk Islam.

Kelebihan menziarahi orang sakit.

Bersabda Nabi SAW yang bermaksud :
 
“Apabila seorang lelaki mengunjungi saudara muslimnya, maka seolah-olah dia berjalan di dalam syurga sehingga dia duduk. Apabila dia sudah duduk maka rahmat Allah mengelilinginya. Jika dia berkunjung pada waktu pagi, maka tujuh puluh ribu malaikat akan mendoaknnya hingga petang dan begitulah sebaliknya” (Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah & Ahmad).

Insyallah, moga-moga  kita semua rajin-rajinlah menziarahi orang sakit dan mendoakannya. Mungkin hari ini hari dia, esok lusa, mungkin hari kita. Memang terasa kesunyian bagi yang pernah mengalaminya.  Semoga kehadiran kita semasa menziarah dengan menjaga adab dapat memberi kegembiraan kepada pesakit dan memperkukuhkan hubungan siratulrahim dikalangan kita. Wasalam.


Artikel bersama: Mzahid & Blog Admin.
Foto: Mzahid
Sumber: Buku Indahnya Hidup Bersyariat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan