Jumaat, 10 Februari 2012

JIKA ANDA SEORANG ISLAM KATAKAN TIDAK KEPADA VALENTINE'S DAY

https://lh6.googleusercontent.com/-MXsBpCVsINk/TzdR0B96NiI/AAAAAAAACqs/KbNEIW-sfi0/s512/No%2520To%2520VD.jpg

Tarikh 14 Februari yang dikenal sebagai Hari Kekasih atau Valentine’s Day bakal hadir dalam beberapa hari saja lagi. Saban tahun, pasangan-pasangan kekasih menganggapnya sebagai tarikh keramat. Untuk meraikan pasangan masing-masing demi membuktikan cinta mereka.


Bahangnya juga kian terasa dengan paparan iklan, promosi dan tawaran hebat di sana sini seolah-olah memeriahkan lagi sambutan ini. Lebih menarik lagi, pelbagai filem berunsur cinta dihidangkan sepanjang bulan kekasih ini buat santapan si pencinta bagi menghangatkan lagi bara cinta terhadap kekasihnya. Dalam sedar atau tidak ramai di kalangan umat Islam turut sama meraikannya. Lebih merisaukan lagi, bilamana sambutan ini semakin mendapat tempat di hati anak-anak remaja


Antara fenomena yang sering kelihatan pada Hari kekasih ini ialah :


Penampilan pasangan uda dan dara dengan pakaian yang indah menyusun pertemuan untuk saling memberi dan menerima hadiah. Sinonimnya dengan pemberian ros berwarna merah, sebagai lambang kasih yang bertaut sudah. Malah ada yang mengakhiri pertemuan ini dengan perlakuan maksiat dan zina. Maka tunggulah 9 bulan lagi akan lahirlah insan-insan yang tidak berdosa. Akibat perbuatan mereka yang kononnya punyai cinta sejati.


Orang muda yang hangat bercinta, semuanya indah.. terasa dunia ini mereka yang punya dan cakap orang lain semuanya salah. Malah pandangan ustaz, ustazah, fatwa majlis kebangsaan pun mereka langgar. Sudah terang lagi bersuluh namun ianya tetap dipandang enteng dek kerana kasih sayang yang mereka agungkan. Bukan tidak ada hebahan sambutan hari kekasih itu dilarang oleh Islam. Namun sikap mereka seolah-olah mencurah air ke dalam pasir. Masuk menyerap tetapi kesannya tetap tiada


Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan dari tahun 2000 hingga 2008 terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran tanpa nama bapa. Secara purata, 2500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan.Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat. Wal Iyazu Billah...


Persoalannya, pernahkah kita bertanya, dari manakah datangnya budaya ini? Wajarkah ianya diterima sebagai suatu sambutan tahunan yang patut dirai? Apakah ada natijah baik untuk kita umat Islam dan dibanggakan dari sambutan ini?


Mungkin ada di kalangan kita yang menyatakan mereka tidak tahu dan tiada maklumat tentang perkara ini. INGATLAH, kita bertanggungjawab untuk meneliti terlebih dahulu apa juga yang ingin kita ikuti. Kita juga dituntut untuk memahami dan menghayati ajaran Islam secara menyeluruh. Tiada alasan untuk kita terus berdiam diri dibelenggu kejahilan.


“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” 
(Surah Al-Israk : Ayat 36)


Sedarlah, menurut satu kajian,


Valentine = Nama sempena seorang paderi besar Kristian iaitu Saint Valentine.


Mengisytiharkan bahawa tanggal 14 Februari 1492 Masihi adalah Hari Kasih Sayang, bersempena kejayaan Kerajaan Kristian menumbangkan Kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol. Pada pandangannya Islam adalah agama yang zalim. Semenjak itu, tarikh 14 Februari disambut setiap tahun oleh umat Kristian bagi meraikan kemenangan itu dengan menamakannya Hari Valentine. Justeru, wajarkah sebagai umat Islam yang yakin bahawa agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam, meraikan hari kejatuhan Umat Islam ditangan Kristian?


Patutkah kita memuja dan meraikan pengisytiharan angkuh seorang paderi Kristian? 
Apakah sudah tiada tokoh lain di dalam Islam yang boleh kita puja dan teladani?


Sedarlah wahai kaum muslimin, sesungguhnya agama ini telah dibawakan kepada kita amat sempurna dan cukup indah melalui kekasih Allah Rasulullah Muhammad S.A.W.


“Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.”

Sebenarnya sudah berulang kali telah dijelaskan hukum meraikan sambutan Hari Kekasih ini oleh Panel Kajian Aqidah dan Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine, haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.


Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 pula memutuskan Amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur agama Kristian. Amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat serta bercanggah dan dilarang oleh Islam. Amaran tentang meniru perlakuan orang bukan Islam pernah ditegaskan di dalam sebuah hadis daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:


“Sesiapa yang meniru (perlakuan) suatu kaum maka dia dikira termasuk dari kalangan kaum itu” 
(Riwayat Abu Daud)


Tentu sekali kita tidak mahu untuk termasuk ke dalam golongan yang disabdakan Rasulullah SAW ini. Meskipun begitu, bukankah masih ramai umat Islam yang meraikan sambutan ini? Lantaran itu kita perlu bertindak membendung amalan yang jelas menjerat umat Islam ke lembah kehinaan ini.


Antara langkah yang wajar dilakukan segera ialah :


1.  Pihak media juga hendaklah memainkan peranan. Ini kerana, media merupakan satu medium penyebar infomasi paling berpengaruh dan lebih luas jangkauannya.


2.  Penjelasan berkenaan larangan menyambut Hari Kekasih perlulah diwar-warkan kepada seluruh umat Islam khususnya remaja agar mereka faham apa sebenarnya erti disebalik hari kekasih ini. Mereka juga hendaklah didedahkan dengan ajaran-ajaran agama supaya pegangan iman mereka sentiasa teguh dan tidak mudah goyah dan terpengaruh dengan budaya barat dan ajaran selain Islam. Guru di sekolah, pensyarah di pusat pengajian tinggi, ibubapa di rumah malah setiap individu muslim perlu berperanan menyampaikan maklumat dan penjelasan ini.


3.  Ibu bapa perlu memupuk kasih sayang dan pergaulan mesra sesama anak-anak dan ahli keluarga. Inilah faktor yang boleh menyemai kasih dan cinta yang dituntut agama. Jiwa anak-anak yang subur disirami kasih dan sayang keluarga akan kuat dan ampuh. Menolak segala bentuk kasih dan cinta yang ditegah agama apatah lagi untuk meraikannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan