Sabtu, 14 Mei 2011

SKIM RONDAAN SUKARELA (SRS) HILANG ARAH, TIADA HALA TUJU AKHIRNYA BERKUBUR TANPA BATU NISAN

"Semua Rukun Tetangga di seluruh negara disaran menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani jenayah di peringkat akar umbi,  SRS juga merupakan salah satu daripada institusi akar umbi yang penting selain polis, Rela dan pasukan keselamatan lain, dalam meningkatkan tahap keselamatan khususnya di kawasan perumahan".

"Saya ingin merayu kepada semua Rukun Tetangga sedia ada untuk menubuhkan SRS secepat mungkin dengan menghubungi Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional dan polis"  Petikan ucapan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. 

Maka dengan saranan itu, berkobar-kobar semangat Pengerusi KRT untuk menubuhkan SRS setelah nampak adanya kebaikan dan faedah sampingan. Setelah tempoh tertentu pernahkah kita membuat analisa kesepaduan dan kesinambungan tugas rondaan berjalan seperti yang disasarkan. Pernah jua seorang Penjawat Awam (JPIN) secara tanpa sengaja atau tidak, telah memberikan pandangan peribadi beliau mengatakan, "pemastautin yang melaksanakan SRS ini, macam hangat-hangat tahi ayam je....tak lama nanti akan tinggallah Pos Ronda tanpa Ahli Ronda". Saya mengambil sikap positif, berkemungkinan Penjawat Awam ini ingin mencabar Ahli Ronda SRS supaya terus menerus menjalankan aktiviti rondaan di kawasan tanggungjawab.

Berdasarkan informasi dari pelbagai sumber dan suka bertanya kepada individu yang bertanggungjawab dalam SRS di kawasan atau negeri lain,  memang tidak dinafikan ada kebenaran ungkapan itu. Semangat yang berkobar dan beria-ia untuk melaksanakan SRS lesap dan lenyap seperti baru dilanda taufan atau tsunami, maka yang tinggal hanyalah Sijil Pengesahan Pengendalian SRS yang dikeluarkan oleh JPIN. Maka masih bergunalah juga sijil tersebut untuk menaikan status penilaian KRT. Apakah faktor dan halangan yang menyebabkan aktiviti rondaan SRS layu, lesu dan akhirnya mati. Berikut saya nyatakan secara ringkas berdasarkan rumusan peribadi saya.
  1. Tunggak kepimpinan SRS yang tidak kompeten dalam memimpin dan mengurus SRS menyebabkan kesetiaan dan kerjasama semakin lemah dikalangan Ahli Ronda untuk terus menyumbang bakti kepada komuniti tanpa sebarang tindakan pemulihan. Pemimpin dan yang dipimpin sama pentingnya dalam sesebuah organisasi. Seperti kata perpatah, kapal tanpa nakhoda akan berlayar tanpa haluan", "kapal tanpa anak kapal pasti kapal tidak akan bergerak".
  2. Pengurusan yang standard tidak diguna pakai dalam pengendalian SRS. Contohnya, tiada jadual ronda dikeluarkan kepada Ahli Ronda, tiada maklum balas dihantar kepada Pejabat Perpaduan Daerah.
  3. Kurangnya atau tiada langsung pemantauan aktiviti rondaan daripada AJK KRT. 
  4. Kemelut dan permasalahan dalaman yang melanda tidak ditangani  dengan telus dan keterbukaan hati.
  5. Tiada sebarang pemeriksaan mengejut (spot check) dibuat oleh pegawai atau agensi yang bertanggungjawab terhadap KRT yang mempunyai SRS.
  6. Kurangnya promosi dan dorongan bagi menarik minat pemastautin setempat untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarela ini. 
  7. Aktiviti SRS adalah tulang belakang kepada KRT, tetapi dipandang sepi oleh mereka yang terlibat menguruskan SRS. Senang cerita kerja dibelakang tadbir dan tidak glamour ini selalunya orang tak ambil kisah.
Cukup sekadar 7 faktor utama yang saya nyatakan di sini, kalau difikirkan masih banyak lagi untuk kita kenal pasti supaya tindakan boleh dilakukan untuk memastikan SRS terus subur dalam menjalankan aktiviti rondaan. Kalau kita fikir kita dah hebat mengurus masyarakat, ingatlah ada orang yang lebih hebat lagi, kalau kita rasakan kita gagal meneruskan SRS, masih ada lagi yang lebih gagal kerana tidak pernah melaksanakan SRS. Artikel ini bukan bertujuan mencari kesalahan orang lain tetapi lebih bertujuan kepada mencari penyelesaian.

Kepada Ahli Ronda Sektor SRS seluruh pelusuk tanah air yang telah berjaya, syabas dan tahniah saya ucapkan. Pengorbanan masa tidur anda ketika orang lain sedang nyenyak tidur pasti mendapat ganjaran dunia dan akhirat. Taburkan bakti selagi anda punyai kesempatan masa dan tenaga. Selamat Meronda. Tahniah kepada semua Ahli Ronda SRS Sektor 1 Tmn Angsamas, kerana kalianlah aktiviti ronda kita masih kukuh dan terbaik dari yang lain. Sebab yang lainnya.... dah boleh packing. Harapan saya selepas ini SRS .....itu kembali meronda.
 

2 ulasan:

  1. sudah putus harapan ke penjawat awam tersebut?
    (dari JPN pulak tu).Berhenti dan ganti
    kan kepada mereka yg lebih berfikiran positif.

    BalasPadam
  2. Menghukum sebelum mencuba adalah suatu perbuatan negatif..Bak kata pepatah dlm setandan kelapa takkanlah semuanya busuk!!

    BalasPadam